Dialog 1:
"Buat apa aku buat kijer, diorang bukan kisah pun pasal penat lelah aku. Hujung bulan sama gak dapat gaji sebagaimana aku ngulor."
Dialog 2:
"Aku rase macam malas la nak kijer hari ni bila dengar tak de bonus tahun ni, hilang mood aku! Jom ngulor!"
Dialog 3:
"Aaaahhh......aku nak tido je la kat pejabat minggu ni. Lagi pun minggu ni aku last kat sini. Minggu depan kat dah kerja kat company lain. Datang.....punch in, kunci pintu. Main game ke, tido ke, chating ke."
Dialog² di atas biasa kita dengar. Sama ada kawan kita, 'lawan' kita, orang 'sipi'², hatta kita sendiri juga ada menyebutnya. Aku sendiri juga ada menyebutnya beberapa kali. Kebiasaanya kita akan berkelakuan sedemikian apabila kita fed-up dengan kerja yang berlambak macam dah tak de staf lain kat pejabat tuh, frust pada pengurusan yang macam kucing tua (statement umum), tak puas hati pada bos kita yang kerap buat 'part-time' kat bank dan pejabat pos, sakit hati dengan rakan sepejabat yang tak habis² bercerita pasal kehebatan pasangannya dan betapa tak terampilnya pasangan hidup individu lain dan apa² sahaja yang membabitkan persekitaran kerja malahan masalah peribadi sendiri dengan tikus² kat rumah yang menjadikan almari baju kita sebagai rumah pangsa mereka.
Apa yang aku cuba perkatakan di sini adalah adakah yang kita tuai di setiap hujung bulan setimpal dengan apa yang kita lakukan sepanjang bulan sekiranya dialog di atas menjadi nyanyian harian. Adakah apa yang kita cucuk di kotak elektronik yang banyak disediakan di kios petrol itu terjamin keberkatannya jika perlakuan di atas menjadi tarian kita di pejabat? Kerana kita dibayar oleh syarikat setiap bulan, setiap hari, setiap jam malah setiap minit untuk bekerja dengannya. Dan bukan untuk berpiket, menunjukkan rasa tak puas hati, buat kerja lain (bisnes sendiri, MLM) atau melayan mood yang kerap berubah arah hembusannya. Tolong jangan nak berdalih dalam perkara ini.
Tidak dinafikan, adakalanya mood kita seakan kuda tua yang baru mendengar tuannya berbisik bahawa ia akan ditembak esok kerana prestasi yang semakin menurun. Begitu lesu sekali dan tidak bermaya. Sekiranya hadir ke pejabat sekali pun, kita tidak dapat menyumbangkan ape². Setelah usaha untuk menchanting mood juga gagal walaupun digula² kan dengan kelibat cik minah janda muda yang akan kita lihat di pajabat nanti, atau menanamkan rasa curious memikirkan apakah menu yang akan kengkawan bawak pada hari ini ke pajabat juga kecundang. Adalah lebih baik sekiranya cuti diambil agar ia tidak menyakiti mana² hati lain yang sedang bersungguh memacu tenaganya bagi memastikan rezekinya berkat pada hari tersebut. Cuma pastikan nama kita tiada di dalam senarai staf yang perlu membuat kerja berlabel 'mustahak'. Jika tidak, MC adalah pilihan terakhir yang boleh dikatakan so-so (boleh laaa....).
Tetapi sekiranya pula kita memang tidak mahu menabur benih positif di atas tanah prejudis terhadap kerja yang akan kita hadapi, ungkapan "Kalau dah tak suka, berenti je!" adalah lebih sesuai diaplikasikan. Mungkin ayat tersebut begitu kasar dibaca apatah lagi untuk diucapkan pada manusia walapun dengan intonasi selembut mana sekalipun. Tapi itu lah hakikatnya. Cari lah kerja lain yang tidak menyakitkan hati sendiri dan orang lain dan yang boleh membuatkan diri sentiasa tersenyum seperti baru sahaja memenangi nombor 4D bernilai RM 1 juta.
Mungkin setiap yang membaca entri aku pada kali ini akan mencebik dan mengomel dalam hati. "Hek eleeeeh....macam lah bagus sangat mamat nih!"
Memang aku akui bahawa aku bukan lah orang yang terbaik untuk memperkatakan tentang keberkatan di dalam rezeki yang diperolehi. Dan aku juga bukan orang yang lurus ketika mengemudi hari di pejabat. Cuma, minda tiba² dicetus idea untuk menyebutnya untuk peringatan bersama agar sekiranya aku dilihat berbuat yang merosakkan berkatnya rezeki aku, tegur lah aku. Begitu juga dengan yang lain. Cuma...jangan lah berdalih menafikan apa yang betul dan mentasdiqkan apa yang jelasnya salah. Kerana kita akan dinilai setiap apa yang kita kerjakan. Bukan oleh manusia, tetapi oleh Yang Maha Menilai. Maka bertanggungjawablah atas perlakuan sendiri!