Thursday, December 23, 2010

Kian.........(wah, macam lagu Mawi pulak)

Semakin bulan semakin susut kuantiti entri aku kat blog aku yang kian sepi nih. Mungkin nafsu untuk menaip dah makin pudar. Jangan kata nak update blog, nak bukak YM pun dah rase tak terbuat. Bukan tak larat sebab tak de kudrat. Ye la....dah nama makin malas tu. Mungkin bosan adalah perkataan yang sesuai.
Ada jugak rakan² yang berbunyik, "Woi, ape la blog dah bersawang!".
Bukan tak nak menaip sebarang entri, cuma aku tak suka menaip entri yang hanya menceritakan apa yang aku makan pagi tadi, berapa hinggit aku belanja untuk makan tengah hari, balik kijer nanti nak singgah mana dan berbagai² lagi topik yang aku rase aku sendiri meluat bila nak baca. Kalau aku dah meluat nak baca balik, apa lagi korang nanti!
Jadik, untuk menyajikan yang terbaik untuk aku baca balik nanti dan untuk korang² yang nak baca blog aku yang ntah hape² ni, maka aku terpaksa kawal mutu penghasilan penulisan di blog aku ni. (Walaupun ada yang dah tegur penulisan aku pun makin merosot sekarang - pergh, macam kena tegur dengan cikgu bahasa pulak!)
Ada masa aku nak menaip tentang agama, tapi aku agak sangsi akan kesohihan riwayat yang hendak aku ceritakan. Maklum la, cerita² macam tu banyak aku timba masa aku sekolah menengah dulu. Sekarang ni dah lebih 10 tahun tinggal. Kalau rumah ditinggal selama tu, dah jadik tempat jin berbasking agaknya! (*berbasking - perkataan inggeris yang telah aku melayu kan dengan menambah imbuhan 'ber' kat depan tuh, muahahaha!).
Ada jugak masa aku nak bercerita tentang kejadian yang aku lalui dalam masa terdekat yang aku rase.....boleh la untuk di story-mory kan. Tapi bila timbul keinginan tu, aku rase macam dah basi, maksud aku...event tu dah beberapa minggu berlalu. Kan tak best makan makanan basi. Jangan kata makan, menghidunya pun jauh sekali.
Aku memang berharap dapat berkongsi cerita dengan rakan². Kalau cantik bahasa dan susunaturnya, dapat jugak menghiburkan insan² yang sudi singgah kat blog aku ni. Bak kata mak aku,
"Kalau nak jual kuih, biar kuih tu pun sedap kat tekak kita jugak. Jangan buat kuih untuk jual lain kualiti, yang nak makan sendiri pun lain kualiti."
Kira maksud lainnya, 'Jangan buat kat orang, kalau kita sendiri tak suka bila kita kena balik apa yang kita buat tuh.'
So....jika aku terus dikurniakan oleh Yang Maha Memberi untuk menghasilkan sesuatu yang tak bosan, akan aku lakarkan di layar elektronik ini untuk tatapan mereka² yang sudi.....tq, bebeh!

Wednesday, December 8, 2010

1432H..........

Hari ini merupakan hari kedua dalam tahun baru kalendar Hijriah, 2 Muharram 1432H.
Dan hari ni mood aku berada di dalam keadaan yang tidak stabil. Entah kenapa macam ada yang tak kena. Nak layan game kat PSP pun rase tak best. Ditambah lagi dengan PC kat pejabat ni buat hal, terus tak boleh nak on. Makin hilang arah tuju aku hari ni.
Nasib baik bos aku keluar. Boleh aku pakai PC beliau untuk melayari internet. Tak ada apa yang penting untuk di layari di internet hari ini. Cuma boleh la baca blog kawan² dan rakan². Kurang sikit rase serba tak kena ni.
Antara cerita yang menarik di blog hari ini adalah berkenaan azam tahun baru. Aku rasa seronok apabila ada rakan² yang menanam azam pada setiap 1 Muharram dan tidak pada 1 Januari. Yup, aku mula tanam azam pada akhir bulan Zulkaedah sejak....ntah, tak ingat pulak. Tapi dalam tempoh 5-6 tahun yang lepas. Dan cuba untuk tidak menyambut 1 Januari sebagai permulaan azam. Sehinggakan pernah aku membalas dengan sms sinis bila ada yang menghantar sms selamat tahun baru pada aku.
"Maaf, saya tak sambut 1 Januari!" Itu balas aku.
Yang mana aku pasti, mesti kawan aku yang hantar akan rase kecik hati dengan sms balas tersebut. Maaf ye yang pernah terima sms macam tu dari aku.
Tahun ni, tiada azam baru yang aku buat untuk memenuhi tahun 1432H ini. Cuma aku mengazamkan untuk memperbaiki azam tahun² yang sudah yang telah memperlihatkan kemajuan. Hmmm.....aku harap ianya bertambah baik!

Monday, November 29, 2010

Satu hari, di suatu ketika........

Satu hari yang agak sesuai untuk bertenet.....
"Hmmm....awak suka perempuan yang macam mane?"
"Kenape tanya?"
"Mungkin saya boleh tolong carikan."
"Hmmm.....ntah yek!" (Jawapan tipikal bila malas nak jawab)
"Aik, citarasa sendirik pun tak tau"
"Muka macam Manisha Koirala, body macam Juhi Chowla (masa ni tengah giler minah hindustan). Kalau dapat Juhi Chwola terus pun lagi best!"
Dengan disusuli ketawa jahat yang dibuat² hingga berlarutan menjadi jahat betul².
Si empunya soalan hanya mampu sengih melihatkan kerakusan jawapan si penjawap soalan.
Hening mengambil ruang perbualan untuk seketika.
"Kalau awak pun dah cukup untuk jadik Juhi Chowla saya." Namun itu hanya lah kata² hanya mampu berkumandang di sudut hatinya.
"Cis, kenape lah tak boleh keluar betul²!" kata² tadi terus disambut dengan rungutan terhadap diri sendiri.
"Pandang rupa jugak awak ni yek?"
"Issssh...mesti lah, nak kahwin mesti lah dengan yang cuuun, baru best!" sambil saiz lubang hidung terus dipaksa mengembang hingga ke saiz semaksima mungkin. Nak cover la tuh!
Senyuman masih terukir di penjuru bibir si penanya. Namun tidak terasa sebarang kemanisan yang terpamer.
Yang ditanya meneruskan bebelan berbentuk pidato yang bertajuk "Kenapa perlunya memiliki wanita berwajah cantik dan berbody seksi".
Oleh kerana terlalu panjang pidato mamat tersebut, si penanya tadi mula boring dan mencadangkan sesuatu agar dirinya tidak mati ditindih keboringan yang melampau.
"Wak.....Jom kita balik, rasa mengantuk pulak petang ni."
"Aaaa...ok la, jom lah." sambil mulutnya sedikit ternganga kerana 'pidatonya' belum selesai.
Dan kedua² insan tersebut berjalan pulang sambil menyimpan sesuatu yang terbuku di dalam hati masing².
nota kaki:
Cerita di atas dicedok dari pengalaman penulis sendiri yang telah diubahsuai sesedap rase mengikut citarasa penulis sendiri. sekian, terima kasih. ^_^

Thursday, November 11, 2010

Perancangan........

Kita merancang, tuhan yang tentukan
Kita punya asa, tuhan punya kuasa
Kedua² ungkapan di atas perlu dijadikan penawar apabila apa yang berlaku tidak seperti yang dirancang. Sikap menyalahkan bukan satu pilihan untuk menghadapi saat kekecewaan. Sebaliknya alternatif perlu dicari untuk menyelesaikan masalah yang telah sedia terhidang didepan mata.
Kalau cakap kat orang kebanyakan ada yang kena sembur balik:
"setakat cakap, memang la senang. Nak buat tu, boleh terjojol bijik mata."
Tapi pada aku, the hardest part of the journey is on the first step. And you will never go anywhere if the first step was never made! Perkara yang senang memang datangnya dari perkara yang susah. Kalau tak pernah mula dan memang tak dibiasakan, sampai bila² la sesuatu benda tu susah. Jauh pulak aku melarat, hehehe!
Ape pun, pegang aje la pada mafhum kalam Allah:
Mereka merancang, dan Allah juga merancang, dan Allah lah sebaik² perancang.
(Al-Imran 3:54)
p/s: Nasib baik la ada kengkawan yang boleh membantu bila apa yang dirancang tak menjadi, hehehe!

Tuesday, October 5, 2010

What the..........???

Pada aku......
Kita dipindahkan sekiranya:
1. Naik pangkat,
2. Memang tempat tu kosong,
3. Masalah disiplin (walaupun pada aku tindakan ni merepek),
4. Memang orang tu sendiri nak pindah.
Tapi kalau suka² pindahkan orang, tu GILA namanye!
p/s: kemaafan dipinta kepada pembaca sahaja bukan kepada mereka yang terasa!

Tuesday, September 7, 2010

"Bebudak je yang hepi......"

"Raye ni untuk budak² je"
Aku pernah dengar ayat itu diungkap oleh seorang dua kawan mak dan abah aku masa aku 'muda²' (budak²) dulu. Aku dengar dan berkata dalam hati, "ye ke orang tua (dewasa) ni tak seronok bila raya. Tgk kat tv, hepi semacam jek". Dan pada waktu tu, aku pun tak berapa nak ambik port sangat.
Yang penting aku hepi bila raye. Raye = baju baru, tak payah nak pose, boleh merayap jauh² naik beskal dengan kengkawan, kolek duit raye, suka² hati belanjakan duit reye tuh, boleh main mercun, pow duit pak cik dan makcik belah mak aku dan macam² lagi la. Kan best tuh!
Tapi bila aku dah tua (walaupun tak berapa tua, sebab dah tak berapa nak muda), aku paham sangat apa yang kawan abah aku cakap masa tuh. Mana tak nya. Semua 'keistimewaan' yang aku sebut kat atas tadi tu telah dicabut sedikit demi sedikit. Giler ke dah tua² (yang tak berapa nak muda ni) pi rumah ke rumah kolek duit raye? Tak ke buang tebiat dalam keadaan dah gedabak nih nak pow duit pak cik dan makcik? Aku yang kena pow ada lah. Nasib baik anak sedara aku tu 3 orang jek....fiuuuh! (sambil menyeka peluh pondan kat dahi).
Apa yang agak best waktu macam aku ni ialah tengok budak² main mercun, layan bebudak datang (walaupun aku tak suka - at least ada suasana raya), baring² kat rumah sambil layan sarkis (walaupun skang dah tak de), tido (of course!) dan makan kuih raya sambil layan borak dengan parent dan adik beradik.
Dan pada aku, waktu yang paling best adalah ketika berada di ambang or pada malam raye tuh. Raya macam syahdu jek. Mungkin perasaan bercampur antara sedih akan Ramadhan yang pergi dengan kelegaan akan Syawal yang hadir. Perasaan tersebut semakin terasa bila tiba pagi raye. Dan setiap tahun aku mengharapkan agar ianya tidak dispoile oleh bebelan mak aku akibat perangai aku sendiri yang suka meleceh (bangun lambat dan pagi tu la baru sibuk nak carik baju raye). Aku suka kalau pagi raye tu tenang je, mood masing² pun ok. Tu yang kalau mintak² mahap masa tu boleh melambak² air mata keluar. Huhuhu! Dan perasaan tu hanya dapat bertahan sampai solat raye je. Balik dari solat raye, mood dah biasa² je.
Hmmm....makin melarat pulak aku bebel. Ape pun, raye ni memang untuk budak² jek. Kita (aku) yang dah semakin tua ni, sepatutnya hargai Ramadhan sebaik mungkin. Harap² lah dapat jumpa dengan Ramadhan lagi!
And...as usual, aku ucapkan kepada semua, Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maafkan atas segala kekasaran bahasa yang telah aku gunakan!

Wednesday, September 1, 2010

Mereka yang patriotik........

Semalam (21 Ramadhan 1431H/31 Ogos 2010M) merupakan hari yang disambut oleh semua warga negara Malaysia.
MERDEKA!
MERDEKA!
MERDEKA!
Terdengar laungan itu dilaungkan dari salah sebuah rumah bujang dipersekitaran kejiranan apabila tepat jam 12 tengah malam dengan diselangi dentuman bunga api yang kedengaran daripada arah utara rumah aku.
Sungguh patriotik mamat yang menjerit itu. Aku hanya tersengih di dalam gelap sambil menghela nafas penat. Penat jugak lipat kertas tanpa berhenti nih!
Sambil itu minda cuba mengagak, apakah agenda yang telah disediakan di dataran bandaraya untuk mereka² yang bersemangat 'patriotik' yang sanggup berembun pada malam yang mungkin dihujani dengan rahmat Lailatul Qadr. Berjogetkah? Menyanyi 'lagu² patriotik' kah? Atau menyusun atur program sendirik dengan mengadakan perlumbaan secara 'kecil²an' bagi mempamerkan 'kemerdekaan' mereka.
Ah, lantak la dengan diorang.
Dalam pada itu juga, aku teringatkan kepada kata² salah seorang ustaz aku di dalam kuliah maghribnya berkaitan dengan erti kemerdekaan. Kata² yang aku ingat sehingga hari ini:
"Erti kemerdekaan yang sebenar adalah apabila kita bebas dari api neraka. Dan sebelum itu kita sebagai umat Islam belum dikira benar² MERDEKA!"
Jadik, apa kita perlu buat untuk meMERDEKAkan diri kita? Tepuk dada, tanya pahala!

Monday, August 30, 2010

Sesuatu tentang kita........

Terpanggil untuk membaca salah satu entri lama di blog kereta mayat - 'Anda tercekik tulang' yang dipautkan pada entri baru beliau - 'Alasan lambat paling kukuh'. Dalam entri lama tersebut, En. kereta mayat ada menyebutkan tentang masyarakat melayu yang memandang pelik terhadap amalan sunnah Baginda S.A.W. Antaranya seperti menjilat jari selepas makan, cari duduk ketika makan dan minum dengan tangan kanan. Aku sendiri pernah ditegur oleh seseorang tentang perlakuan aku menjilat jari selepas makan.
"Hisssh...malu la sikit, jangan buat kat dalam majlis la!"
Dan dengan bahasa yang beralas, aku membalas balas sebagaimana ustaz aku cakap kat aku:
"Ni la orang kita. Kata sayang nabi, tapi nak amal sunnah Baginda pun malu"
Dan kata² tersebut membuatkan yang menegur aku tu diam dan tidak pernah menegur aku lagi selepas tuh. Tapi tak de la lepas tu aku jilat jari aku dengan eksen depan beliau.
Jika kita lihat balik pada masyarakat kita, orang melayu suka melabel individu atau sesuatu mengikut selera dan kebiasaan tanpa diselidik atau mencari cerita sebenar setiap yang berlaku di depan mata. Diorang tak kisah pun samada apa yang dilabel tu betul atau tidak.
Kita juga gemar pada sesuatu yang 'sensasi' (gosip dan fitnah). Lagi suka jika sesuatu yang sensasi itu keluar dari mulut diorang sendiri dan mungkin lagi rase best bila menjadi orang yang pertama menyebut kesensasian tersebut. (maaf kalau imbuhan tersebut tak sesuhei)
Antara citer lain (tidak menyentuh bab agama dan berdasarkan dari citer mak aku), pada satu malam di rumah datuk aku salah seorang daripada sepupu aku mengalami pendarahan hidung setelah berjemur pada siang harinya kerana membersihkan laman rumah. Setelah di sedari hidungnya berdarah, dia mengesat² hidungnya dengan tangan dalam keadaan yang laju sambil menuju ke dapur mencari tuala untuk membersihkan darah tersebut. Oleh kerana sepupu aku ni agak kurus, salah seorang dari makcik kami yang tenampak kejadian itu berbisik (dengan suara kaypoh yang biasa kita dengar kat dalam ceramah) kepada mak cik yang lain:
"Tu la isap dadah la tu!"
Aku yang mendengar cerita mak aku hanya mampu beristighfar (yang mana sebelum tu terkeluar ungkapan W.T.F!). Tanpa sebarang pengetahuan dan pertanyaan, dengan mudahnya dia (makcik aku tadi tu) melabel yang sepupu aku tu isap dadah! Tu kalau sepupu aku bawak kepada level yang lebih serius, boleh buat saman malu tuh! ^_^
Hmm....macam dah panjang je nih, ada lagi yang aku nak sebut nih. Tak pe la, aku sambung pada entri lepas nih.

Friday, August 27, 2010

Dah 17 hari........

Dah 17 hari aku berpuase. Dan dah banyak hari jugak aku makan bila waktu berbuka jek. Lepas dari tu, aku minum jek. Minum air masak, air katira, air teh, air kopi dan macam² air lagi la. Bangun sahur pun aku minum je. Air masak jugak. Bukan air manis² pun. Nak kata tak selera, tak jugak. Kalau ada ada, aku bedal jugak. Tapi dah namanya malas....malas nak keluar. Tak best sahur sorang² kat luar nih. Nak masak lagi la. Tapi yang penting, aku cuba untuk banyak minum jek. Supaya air yang ada, tak terhidrasi. Makan memang agak kurang.
Tapi kenapa hari ni aku pakai seluar untuk pergi kijer, tak rase macam seluar tu longgar??? (tak rase kurus). T_T
Tak pe, aku anggap la yang seluar tu mengecut! Huhuhuhu!

Thursday, July 29, 2010

Sebak.........

Kebelakangan ni, aku kerap terfikir pasal parent aku. Dengan keadaan diorang yang semakin uzur. Kerap diserang penyakit yang kalau masa muda dianggap penyakit² celah gigi. Kurang selera makan. Yang terbaru bapak aku plak di'tegur' makhluk halus.
"Kenapa la dia nak tegur orang² yang semakin dan yang memang dah tak berapa sihat mak ek? Tegur la orang kaya nuuun!"
Antara ayat yang sempat aku keluarkan ketika aku menelefon mereka di kampung. Dan kemudian disusuli dengan gelak kecil mak aku. Tenang rasa hati dengar tawanya.
Dalam pada itu, aku ada gak terfikir untuk duduk kat kampung jek. Jaga diorang, tengok² kan diorang. Paling tak pun, bila malam ada la jugak 'orang muda' kat rumah.
Pernah juga aku terfikir lebih jauh....bila bapak aku tak de, ape plak nasibnya mak aku nanti. Siapa la yang aku selalu jenguk dia. Kalau mak aku yang tak de dulu, aku tak risau sangat. (bunyik mcm kurang hajar ek?) Maksud aku, aku kena fikir juga la, apa yang akan berlaku pada masa depan, dan apa pulak tindakan aku sebagai salah seorang anak yang tidak mahu dicop 'si tanggang'.
Bila fikir lame² pasal kemungkinan susana rumah kat kampung, bila diorang dah tak de, sayu pulak rase hati ni. Kalau tak kerana cover macho, dah meleleh air mata nih! Huhuhuhu!
Fuh, tetiba pulak sebak!
*sob, sob*
T_T

Tuesday, July 27, 2010

Motivasi..........

'Berpasangan memotivasikan'
Dulu aku begitu skeptikal dengan ungkapan itu. Kalau benar sekalipun, aku tidak sedar akan 'motivasi' yang wujud tu.
Tapi semalam, aku begitu merasinya. Rase begitu termotivasi. Walaupun hanya di paparan cembong. Walaupun sekadar bualan kosong.
Aduhai lah hati, mengapalah begitu sukar untuk terisi. Tak perlu lah aku menggapai memori, yang pastinya tak dapat aku kecapi.
Haaaaaaai....(mengeluh panjang sekejap)

Thursday, July 15, 2010

Chat, Fon dan Face to face.......

Chatting:
Untuk memberi info
Nak mengumpat
Saje nak abiskan masa
Boring buat kijer
Fon:
Untuk memberi info penting
Nak ngumpat dengan lebih best
Cube menarik perhatian
lebih fokus pada topik
Berbincang isu ringan
Face to face:
Berbincang isu lebih berat
Kalau memang dah kaki ngumpat, lagi seronok
Boleh perhati riak muka dan tubuh badan
Isu juga boleh dipelbagai
Boleh bercerita sambil makan²
Ape yang aku cuba sampaikan adalah tak semuanya kita boleh buat dengan hanya chatting (sms atau ym), fon (call kawan, gf/bf) dan face to face (bersemuka/dating kalau gf-bf). Dan adalah dinasihatkan kepada meraka² yang nak berbicara isu berat lebih elok jika bersemuka berbanding dua kaedah yang sebelumnya (chat dan fon).
Sebagai contoh, tanpa sebarang penerangan, cuba bezakan dua ayat dibawah ini:
"Kau ni dah gila?"
"Kau ni dah gila???"
Kalau kita melihat secara logik penulisan, pertanyaan yang kedua adalah lebih keras dan lebih kasar berbanding pertanyaan yang pertama. Betul tak? Tetapi sebenarnya, mengikut niat si 'penulis' pertanyaan yang kedua lebih kepada bentuk gurauan jika diintonasikan dengan nada berlawak berbanding dengan ayat pertama yang berniat lebih bertanya dengan lebih serius. Susah nak bezakan, kan kalau dengan hanya penulisan?
Jadik, berhati² lah bila berchating. Kadang² secara tak sengaja kita mengguris hati kawan kita secara tak sengaja. Dan mana² yang terguris tu, bersangka baik lah kepada kawan kita. Ada kemungkinan ayat yang mennyinggung perasaan kita berkemungkinan mereka hanya berniat untuk bergurau sahaja.
Food for thought!

Monday, June 21, 2010

Sedikit berita karut.......

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki yang dipercayai salah seorang daripada ahli kumpulan Geng Seluar Baju Melayu berjaya ditahan geng lain (Geng Seluar Slack) ekoran kerana tidak puas hati atas tindakan lelaki tersebut yang menyamar sebagai penembak tepat yang nyata tembakannya tidak tepat ketika sesi menembak diadakan di lapang sasar PULADA, Ulu Tiram.
Beliau yang di tahan ketika menaiki kereta yang dipercayai miliknya sendiri di 'block' oleh dua buah basikal BMX milik geng lain ketika balik dari sesi fotografi bertema 'Mari Bergambar Dengan Senapang Walaupun Tak Kena Sasaran' bersama ahli² Geng Seluar Baju Melayu tersebut, yang mana juga telah lama menjeruk rasa akan tingkah laku lelaki itu yang menjengkelkan.
Menurut salah seorang ahli geng lain yang memberi maklumat menggunakan surat layang kepada pihak media menyatakan, individu yang dikenali sebagai 'Babart' ini telah lama di perhatikan oleh geng² lain yang berasa kurang senang dengan teknik penyamarannya yang begitu mudah dikesan oleh pihak luar dan sekaligus merosakkan profesion panyamar profesional di samping kelakuan kurang senangnya yang kerap ditonjolkan seperti melempar pinggan sembunyi tangan, menangguk di air sirap, melepaskan 'angin' di tangga dan alang² makan biar pengsan.
Rahim (bukan nama sebenar) berkata lagi di dalam surat layangnya, sehubungan itu pihak geng² lain tidak perlu risau lagi kerana dengan tertangkapnya 'Babart' ini atau nama sebenarnya Ku Botak bin Ku Lop, akan memudahkan pergerakan penyamaran ahli² geng yang lain dalam melakukan aktiviti separuh bermoral itu.
Beliau juga yang mewakili ahli Geng Bas Sekolah amat berterima kasih kepada geng yang telah berjaya menangkap lelaki itu.

Tuesday, June 8, 2010

Kambing versi aku pulak........

Satu pagi (yang hampir tengahari) staf dari pejabat sebelah aku datang untuk menghilangkan boring (nak ajak borak la ni). Then somebody (aku tagkan sebagai staf A) ask another staff (aku labelkan sebagai staf B) about love.
"Apa pendapat kau tentang cinta?"
And then he replied (staf B)
"There is no such thing as love"
Aku dan staf A bungkam buat seketika. Aku lantas menjeling pada staf B dan melihat rekasi staf A. Belum staf aku mengeluarkan sebarang kata², staf A memulakan kembali topik,
"Apa maksud kau yang cinta ni tak de?"
Terus staf B meneruskan hujahnya.
"Mana ada cinta mat. Hidup ni pun hanya untuk kijer, cari makan, kahwin, buat anak....." dan bla, bla, bla mengikut mentalitinya sendiri yang mana aku memang tak bersetuju langsung dengan fahaman tersebut.
"Kalau macam tu hidup kau sama lah macam kambing?" staf A cuba membuat telahan.
"Haah, ye la tuh" staf B tanpa sebarang ragu menyambut.
Dan aku serta staf A yang tahu bagaimana staf B ini berfikir terus membiarkan staf B berhujah sambil tersenyum sinis sambil menjeling antara satu sama lain. Dalam pada masa yang sama beberapa 'point' sinis cuba di lemparkan kepada staf B yang mana gagal di tangkis dengan kemas akan kebenaran sindiran kami. Dan dalam kecelaruan staf B tadi dengan fahamannya dan kesefahaman kami berbincang, secara perlahan staf B tadi beransur meninggalkan meja perbincangan. Kebetulan pada masa yang sama beliau ada urusan yang perlu diselesaikan.
Aku tidak mahu mendabik dada mengatakan yang kami mungkin menang dalam debat kecil tersebut. Cuma aku berasa risau aku fahaman staf B tadi dan aku berdoa agar aku tidak berfikiran sedemikian pada masa akan datang.
Aku bukan mahu berbangga bahawa manusia adalah ciptaan yang mulia. Namun aku tidak boleh menafikan apa yang telah dinyatakan di dalam Al Quran tentang kemuliaan tersebut:
"Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan."
(Al-Israa', ayat 70)
Dan kita diciptakan bukan hanya untuk apa yang telah disebutkan oleh staf B di atas tadi. Tetapi kita di cipta adalah untuk seperti antara tujuan di bawah ini:
"Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Al-Anaam, ayat 165)
"Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"
(Al-Mu'minuun, ayat 115)
Entri ini dibuat kerana terpanggil untuk menceritakan perkara sebenar perihal kambing dari blog salah seorang pendengar perbincangan kami di atas, maaf ye!

Wednesday, April 28, 2010

Penat yang best.....

Fiuh....beberapa minggu yang sungguh bz.
Aku kategorikan minggu aku bz bila:

1. Tak de masa nak main PSP
2. Tak de masa nak main PS2
3. Tak de masa nak main game kat PC
4. Tak de masa nak update blog
5. Tak de masa nak bukak laman gamefaqs.com dan gamespot.com
Yang paling atas tu kalau dah tak buat, memang sibuk sungguh la bunyiknya. Kalau tak, pantang ada ruang masa sikit, ada jek aktiviti menekan butang game portable tuh.

Dan hari ni (waktu aku update blog nih), ada la masa terluang sikit. Sebab akhir sekali aku isik entri ni hampir 3 minggu yang lepas. Tu pun entri kontot, sekontot ekor kucing aku kat kampung nuuu! ^_^

Sebagaimana kata tokey kedai gula² dalam blognya (yang aku tak dapat tag entri mana satu), kesibukan bekerja menyebabkan kita rase puas dan diberkati amat aku setujui. Dah lama rasenya aku tak merasai kesibukan sehingga terkejar² waktu yang ada. Dan rase agak puas bila sesuatu hari (malam) itu berakhir. Yang pastinya aku rase seronok walaupun badan ni rase agak lunyai macam kain buruk buat lap bontot periuk! Hahahaha!

Friday, April 9, 2010

Tidoq!

"krooohhh...kroooooh......kroooiiiihhhhh......!"
Fuh, lamanya tertidur dari menjenguk blog. Ape ajjer la yang aku nak isik kat blog nih!

Huhuhuhuhu! T_T

Monday, March 22, 2010

Hari yang manis.......

Sakit² di beberapa bahagian di badan ini telah hilang. Lesu yang ditanggung sehari sebelum ini juga beransur surut. Sakit akibat aktiviti tarik tali dan beberapa lagi aktiviti serta lesu akibat bertugas sebagai AJK pada Hari Jalinan Korporat agak memeritkan.
Aku tidak sempat untuk merakam detik² yang aku anggap manis ketika program itu berlangsung. Cuma beberapa kesan parut dan calar menjadi bukti seketika bahawa program itu pernah berlangsung. Namun begitu, kenangan yang terukir selama 2-3 hari ketika di Sekakap, Mersing itu akan terus menjadi antara kenangan yang menjadi sebutan di masa akan datang.
Hmmm...seronok betul masa tu. Kan best kalau semua staf bersatu hati sepanjang masa sama seperti ketika program jalinan korporat itu berlangsung. Memang tidak dinafikan terdapat beberapa individu yang meminggirkan program tersebut dan menganggapnya sebagai satu program yang low-class dan ntah ape². Namun pada aku, ia berjaya sebagai satu program yang menghiburkan dan mampu menjadikan tempat untuk mengenali sesama staf yang berlainan jabatan, institusi malah dari daerah yang berbeza. Malahan ia juga boleh dijadikan kesempatan untuk mereka yang mencarik jodoh! Hehehehe!
Aku amat berharap agar program seperti ini diwujudkan lagi di masa hadapan dengan menjadikan aku sebagai AJK lagi. Biarpun penat, aku amat gembira dengan rakan² se'AJK', terima kasih kawan!

Wednesday, March 10, 2010

Esok adalah harinya........

Selesaikan lah segala urusan mu hari ini wahai teman
Kerana esok terlalu tohor masa untuk mu
Pesankan segala wasiatmu hari ini wahai rakan
Kerana esok dikhuatiri kesempatan itu telah tiada di sisi mu
Sebarkan tentang peribadimu hari ini wahai taulan
Kerana esok dirimu akan terlontar di tanah asing yang berdebu
Persiapkan lah dirimu sesiaga mungkin pada hari ini
Kerana esok tiada bantuan selain apa yang kamu persiapkan!
Kerana esok adalah harinya
Kerana esok adalah masanya
Kerana esok adalah ketikanya
Untuk kita berjuang!
Sajak ringkas ini ditujukan kepada meraka yang akan ke PROGRAM GERAK GEMPUR SPM pada 11 Mac 2010.....'Gerak Gempur' kan bunyik mcm nak perang tuh! hehehe

Tuesday, March 2, 2010

Panjang dan Kontot.........

Aku suka kucing. Adik aku pun suka kucing. Abang aku pulak sayang dia lain macam sikit. Ermmm...rase tak yah citer la kot. Cuma kadang² kesian pulak aku tengok kucing tu bila abang aku pegang. Mungkin kami dapat sifat 'penyayang' ni dari mak kami yang memang saaayang sangat pada kucing! Dari aku mula 'kenal' mak aku, sampai la dia tak berapa sihat sekarang ni. Tak jemu² beliau membela kucing. Tak pernah rasenya keluarga kami tak 'berkucing'. Walaupun aku sebut yang aku dapat sifat sayang kucing ni dari mak aku, tak bermakna pulak bapak aku tak sayang kucing. Dia sayang gak, tapi tunjuk sangat. Maklum la...lelaki kan tak suka tunjuk sangat kalau dia sayang sesuatu. Hehehehe!
Panjang plak intro aku. Hehehehe!
Sebenornya aku nak citer pasal kucing yang sekarang menjadi penghuni tetap kat rumah parent aku kat kampung nuuu! Nak citer asal-usul macam panjang. So, aku singkatkan kepada rumah parent aku ada sepasang kucing jantan yang boleh aku kategorikan kembar hampir seiras. Dua² kaler kuning. Yang abang (aku agak la) mak aku panggil Kontot dan yang adik (pun aku agak jugak) mak aku panggil Panjang. Dua² nama diorang ni dapat dari keadaan fizikal diorang sendirik. Yang sekor tu ekor panjang dan yang sekor ekor pendek. Dah mak aku bagi nama. Dia bagi la ikut senang dia panggil dan dia cam. Kalau kucing tu kaler hitam, dia panggil la Hitam. Kalau putih dia panggil la Putih. Agak bulu dia kembang macam putik kekabu, dia panggil la Kembang. Dulu masa muda² dan masa kitorang kecik² nama kucing ni agak komersil sikit. Alice(pengaruh kartun) la, Simba(pun pengaruh kartun) la. Tapi tu semua adik aku yang bagi nama. Aku tak de masa nak pikir² ni. Ikut je la apa yang mak aku panggil. Huh, makin jauh pulak aku merepek.
Ok balik pada citer si Panjang dan si Kontot.
Mak aku cakap, sepanjang dia bela kucing, ni la 1st time dia tengok kucing jantan yang dah 'dewasa' baik macam orang (walaupun ramai adik beradik manusia yang bergadoh, hahaha). Maksudnya diorang boleh makan satu pinggan, dapat ape² boleh kongsi, main tikus pun boleh passing² macam batton malah tido pun boleh peluk². Aku pun terperasan gak. Biasanya kucing yang mak aku bela, tak sampai umur diorang setahun dah nak bercakar². Kalau takat cakar² masa gurau tu lain la. Dapat ekor cicak pun dah bising macam adik beradik diorang nak rampas. Pada hal jauh sebatu lagi siblings diorang tuh. Haih...biasa la kucing nak besar dan mula nak start dominate diorang punyer terratories.
Aku amat tertarik dengan sifat diorang ni, so aku snap la beberapa aksi diorang yang menarik perhatian aku sepanjang aku bercuti seminggu pada CNY yang lepas.


"Aduh...aduh...sakit telinga aku!"

"Mak aih, tergeliat urat belikat aku ni nanti"
Aaa....yang kat atas ni aku dah posisikan balik untuk tujuan komersil. Hehehehe....posisi asal diorang seperti di bawah nih.
"Seronotnyaaa....mcm peluk bantal"
Diorang ni memang suka tido himpit² nih. Pantang ada alatan yang diorang boleh masuk. Tak kira la bakul ke, besen ke, kotak ke, tudung saji ke. Yang penting boleh muat badan diorang yang semakin gedabak tuh. Tak pe...gedabak² pun tetap comel. Kucing la kata kan. Silap pandang dah macam nasik himpit pun ada. Tinggal curah kuah lodeh je! Hahaha!
Namun bagitu aku risau akan keharmonian diorang ni. Ini kerana antara diorang ni, hadir sekor kucing betina yang amat manja dengan salah seekor daripada adik-beradik nih. Aku berharap antara salah sekor ni, ada la yang 'beralah' supaya kehoramonian diorang ni kekal terjalin. Hehehe.....ajjer giller ah!
Comot, kucing betina yang mungkin mengganggu gugat hubungan adik beradik ini. Kita tungguuuuu!

Wednesday, February 24, 2010

Antara Boleh dan Tidak........(kecewa)

Berapa kerapkah dalam hidup seharian, kita berasa hampa dan kecewa?
Kemudian cuba tengok pulak apakah yang menyebabkan kita berasa hampa dan kecewa.
Aku rase tak perlu aku perjelaskan maksud hampa dan kecewa kat sini, kerana ramai daripada kita dah tahu sangat akan 'rase' kedua² perasaan yang aku sebutkan.
Cuma, disini aku cuba nak menyatakan yang ada masanya kita boleh berasa hampa dan kecewa dan ada masa pulak aku rase kita tak boleh berasa sedemikian.
Pendapat aku:
Kita boleh rase kecewa dengan sikap kawan kita yang kerap menyogok alasan berjela² apabila lambat datang bila berjanji
tetapi;
Kita tidak boleh kecewa bila tiket wayang citer Avatar 3D yang kita nak sangat tengok dah habis pada hari terakhir ianya ditayangkan.
So...boleh nampak tak bezanya?
Aku cuba bagi lagi satu contoh:
Kita boleh kecewa dan hampa bila kawan kita kerap memutar belitkan fakta yang memang kita dah tahu cerita lurusnya
tetapi;
Kita tidak boleh kecewa dan hampa apabila perut kita/isteri masih lagi tidak 'berisi' walaupun setelah kaedah ke 88 kita praktik kan sejak beberapa bulan yang lepas.
Kalau tak jelas lagi, aku akan terus simpulkan:
Kita boleh kecewa dan hampa dengan sikap makhluk (manusia) tetapi kita tak boleh kecewa dan hampa dengan ketentuan Allah!
Jadik ungkapan seperti
"Aku keciwa nombor yang aku beli semalam tak ada yang sangkut langsung"
atau;
"Aku hampa tak menang peraduan gores dan menang tuh"
atau;
"Kecewanya tak dapat makan tongkeng hari nih" memang tak boleh diungkapkan (apatah lagi yang ungkapan pertama tadi, dah la memang haram! hahaha).
Kita perlu selalu ingat (dan kena paksa ingat) bahawa selain tangan kita masih ada lagi 'jari²' Kholiq yang menarikan tali takdir dan segala apa yang di luar kawalan kita adalah apa yang ditetapkan olehNya dan hanya Dia sahaja tahu apa yang baik untuk kita. Jadik adalah lebih baik sekiranya hampa dan kecewa tersebut dicampak ke lautan redha.
Jadik, setiap kali kita nak berasa hampa dan keciwa, lihat lah dulu niat kita. Adakah ianya untuk makhluk (manusia) atau direct hit pada apa yang dah tertulis di 'atas' sana. Kerana natijah perbuatan kita itu akan menghasilkan impak yang besar kepada benang iman yang menyulam peribadi diri.

Wednesday, February 10, 2010

Saje² jerrr........

1. Tokito Ami - Sentimental generation
2. Ikimono gakari - Blue bird
3. YUI - Life
4. Kiroro - Sukteki dane
...
...
...
37. Megumi Hayashibara - Kimi sae ireba
Kat ataih ni adalah antara senarai lagu yang aku dengar untuk beberapa minggu ni. Tema : lagu jepun! Senarai tersebut hanya sampai 37 bukan kerana aku hanya ada 37 lagu saje, tetapi kerana lagu² tersebut yang aku tengah minat nak dengar. Dan memang hobi aku suka sengar lagu yang aku suka berulang² kali.
Haih.....makin teruk minat aku terhadap jepun (lagu)
nota kaki: rase mcm ntah hape² je entri aku kali nih. >_<

Tuesday, January 26, 2010

Maaf ye........

Aku ingin menarik balik permisalan kisah Tsa'labah yang aku sandarkan kepada meraka² yang lupa daratan dalam entri aku yang bertajuk 'Budaya ketuanan yang tinggi' .

Ini kerana aku telah beberapa kali terjumpa blog atau laman² yang menafikan cela beliau sebagai salah seorang sahabat nabi ini. Antara yang aku temui adalah seperti di pautan di bawah ini:
i.
Bicara Muslim
ii.
almanhaj

Kisah tentang Tsa'labah ini kerap diperdengarkan pada aku ketika aku bersekolah. dan pada waktu itu kebanyakan ustaz dan ustazah mengiyakan kisah kebakhilan Tsa'labah ini dan aku tidak menjumpai sebarang penafian terhadap beliau. Kecacatan hadis tentang celaan terhadap tsa'labah ini baru sahaja aku temui dalam beberapa tahun kebalakangan ini. Pada mulanya agak sangsi dan tidak mengendahkan hujah penafiaan celaan terhadap beliau. Namun semakin lama, lebih dari 3 laman dan hujah yang seumpama itu aku temui. Lantas aku ambil jalan yang lebih selamat untuk menarik balik kisah celaan terhadap beliau.

Insya Allah, selepas ini jika sesiapa bertanyakan kepada tentang kisah Tsa'labah akan aku pinta mereka untuk bertanyakan kepada yang lebih pakar tanpa memberi ulasan terhadap kisah salah seorang sahabat nabi ini. Dan semoga kesilapan aku ini, diampunkan Allah dan dimaafkan oleh Baginda s.a.w, astaghfirulah!

Thursday, January 21, 2010

Terima kasih 888x...........

Semalam (4 Safar 1431 / 20 Januari 2010) merupakan antara hari yang amat gembira pada aku, kerana apa yang aku tunggu selama ini telah aku miliki semalam! Mungkin amat biasa pada orang lain, tetapi ia amat bermakna bagi aku. Terima kasih semua yang terlibat, hanya tuhan sahaja yang membalas jasa kalian semua! Korang memang world!
Terima kasseyyy!!!! (nada David Arumugam)


Thursday, January 7, 2010

Dr. Azizan kata........

Dr. Azizan cakap, kalau nak sesuatu tu kita kena bagi dulu pada orang. Baru lah kita dapat balik ape yang kita nak. Contohnya kita nak kaya, kita kena la bagi 'kaya' kat orang dulu, baru kita boleh dapat kaya. Tak kisah lah kaya duit ke, kaya kat roti tu ke.
Tapi.....
Hukum tu tidak berfungsi secara 'tunai', dan biasanya hukum tersebut kerap diaplikasikan pada perkara² yang tidak boleh disentuh. Contohnya kasih sayang, ketenteraman, gembira dan beberapa lagi perkara yang dikira sebagai abstrak.
Ia juga tidak la bermaksud, not rm5 yang kita campak di tabung masjid pukul 1.30 tgh hari tadi, boleh kita cashkan di ATM terdekat pada sebelah petangnya dengan nilai yang telah berganda! Hukum ini juga tidak berlaku secara tunai (sekali lagi aku nyatakan). Ia akan kembali pada kita pada waktu² yang tak dijangka atau pada waktu yang amat kita perlu.
Contoh termudah ketika kita tidak berkira sewaktu membayar bil makanan rakan yang semeja makan dengan kita pada awal bulan. Kemungkinan besar, makanan kita pula akan ditaja oleh rakan kita semasa hujung bulan, diwaktu secara lazimnya kandungan poket atau dompet lebih cenderung berisikan habuk dan kertas resit berbanding not² yang beraneka warna.
Jadik...pendek cerita, kalau nak perkara baik sentiasa berlegar² di sekeliling kita setiap hari, sebarkan lah juga perkara² baik sebanyak yang mungkin pada orang sekliling kita. Perkenalkan kegembiraan kepada setiap insan di sekeliling, insya Allah, kegembiraan juga la yang akan menyapa kita setiap hari.
Begitu juga dengan bende² yang negatif. Jangan salah kan orang lain yang memberi benci jika kita sendiri yang menghulur benci sebagai orientasi.

Tuesday, January 5, 2010

Malas.........



Malasnyeeeee nak update blog!

(akibat dari 'hormon' malas yang dirembeskan terlalu tinggi, tu je la isik posting kali ini! hahahaha!)